Friday 5 October 2012

PANDUAN KBKK PERANAN PENDIDIKAN


Ø  . PERANAN PENDIDIKAN 
Secara umumnya sistem pendidikan boleh dikatakan mendokong dua peranan utama. Dari satu sudut, pendidikan sering dikenal pasti sebagai jentera untuk menyediakan tenaga kerja yang terlatih dalam pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk menggerak danmenyuburkan pertumbuhan ekonomi negara.
Dari sudut lain pula pelajar yang sama setelah melalui sistem pendidikan formal, diharapkanmenjadi individu yang seimbang dari segi pertumbuhan rohani, intelek dan jasmaninya.


2.1 Peranan Pendidikan Terhadap Individu

i.  Membentuk Ciri-Ciri Sosial Individu 
Pendidikan memainkan peranan penting untuk membentuk kesedaran :
·        kekeluargaan
·        komuniti dan masyarakat
·        kebangsaan
·        kejiranan
·        organisasi
·        serantau dan antarabangsa
ii. Membentuk Ciri-Ciri Positif Sosial Individu

Sistem pendidikan negara adalah juga berperanan membentuk rakyat yang sentiasa bermotivasi, iltizam, bermaruah, dedikasi, kuat daya saing, dan daya juang dari segi aqidah dan ilmu.

iii. Membentuk Nilai-Nilai Asasi Individu Yang Cemerlang

Sistem pendidikan diharapkan dapat memainkan peranan untuk membentuk akhlak/etika berasaskan agama dan moral yang tinggi. Individu yang terdidik mestilah boleh bertoleransi di antara kaum dan agama. Mereka juga hendaklah boleh menghormati kebudayaan kaum lain dan menghargai kebudayaan kebangsaan.

iv. Membentuk Individu Yang Berilmu Dan Berkemahiran Tinggi

Sistem pendidikan negara diharapkan dapat mengeluarkan individu yang boleh berkomunikasi sekurang-kurangnya dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Pendidikan juga diharapkan dapat membentuk individu yang berpengetahuan matematik, sains dan teknologi. Mereka mempunyai daya fikir dan mahir menyampai ilmu dan kemahiran.



2.2 Peranan Pendidikan Terhadap Masyarakat

i. Sumber Kemahiran dan Ketrampilan

Mempunyai atau mengetahui sesuatu bidang ilmu sahaja tidak mencukupi untuk sebuah masyarakat menjalani kehidupan yang sempurna. Setiap ahli masyarakat perlu mahir dan berketrampilan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.


ii. Sumber Kebudayaan dan Ilmu

Sekolah memainkan peranan yang penting bagi menyalurkan kebudayaan dan ilmu sesuatu bangsa kepada generasi berikutya. Tanpa sesuatu agen untuk mewariskan serta memperluaskan budaya, sesuatu generasi baru akan kehilangan pedoman dan arah. Peranan mewariskan kebudayaan dan ilmu ini boleh dimainkan oleh institusi keluarga. Dalam abad ini masyarakat telah menjadi lebih maju menyebabkan kebanyakan ibu bapa telah terperangkap dalam arus mengejar kemajuan. Mereka tidak mempunyai cukup masa untuk memberikan ilmu yang lengkap kepada anak-anak.

  
iii. Sumber Pemupukan Kepercayaan dan Sistem Nilai

Sepanjang sejarah kehidupan manusia, mereka tidak pernah lepas daripada sesuatu kepercayaan dan sistem nilai. Manusia fitrahnya sentiasa mencari-cari jawapan bagi persoalan-persoalan kerohaniannya. Banyak berlaku, manusia tersesat dalam memberikanjawapan-jawapan persoalan kerohanian mereka. Dengan kesesatan itu mereka akan membinasakan diri dan masyarakat mereka. Di sinilah peranan pendidikan menjadi penting bagi memberi petunjuk dan panduan yang benar.


iv. Menyediakan Tenaga Manusia Untuk Alam Pekerjaan

Pada masa kini dan pada masa akan datang terdapat pelbagai jenis pekerjaan. Lebih maju sesuatu masyarakat maka lebih banyak jenis pekerjaan yang wujud. Tenaga manusiapelbagai peringkat pendidikan perlu dikeluarkan bagi mengisi jawatan pekerjaan yang sesuai. Dengan wujudnya kepelbagaian pelajaran individu akan terdorong untuk (kerap) bertukar pekerjaan.

v. Pusat Penjagaan Belia, Remaja Dan Kanak-Kanak

Dalam dunia perindustrian yang bertambah maju, semakin ramai ibu bapa terpaksa  menumpukan banyak masa untuk pekerjaan masing-masing. Tambahan pula terdapat ibu dan bapa terpaksa bekerja. Dengan ini sekolah akan memainkan peranan yang tersirat iaitu sebagai pusat penjagaan kanak-kanak, remaja dan belia.
Untuk ini peranan persekolahan mestilah suatu tempat yang selesa, mengembirakan dan  dapat memenuhi naluri proses perkembangan kanak-kanak menjadi dewasa.




No comments:

Post a Comment